*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*
Jam sudah menunjukkan pukul 6 petang. Saya menanti ketibaan sahabat di Baitul Izzah. Cuma Along dan Cik Nola sahaja yang sudah tiba. Sambil menanti kehadiran sahabat yang lain, kami mengemas Baitul Izzah. Mengalihkan meja dan tikar supaya rumah comel ini dapat memuatkan lebih kurang 50 orang (pada perkiraan awal). 30 minit kemudian, Cik Farhin muncul dengan rice cooker di tangan.
"Wah! Siap bawak rice cooker. Comel. Warna pink lagi tu." Kata saya.
"Ni nasi yang kita masaklah. Termasak lebih tadi." Terang Cik Farhin.
Sebelum jam 7, ramailah sahabat yang sudah tiba antaranya Cik Hafsah, Cik Izzati, Cik Sakinah, Cik Syamil, dan Cik Syue yang sudah siap membawa makanan untuk aktiviti pertama kami - Iftar Jama'ie.
7.15 petang, 7 peserta pertama hadir. "Ini je ke?" Tanya Ustazah.
"Ini sahajalah yang saya dapat kumpulkan Ustazah. Yang lain kata tak dapat datang sekarang. Mungkin datang lewat sikit. Ada yang ada meeting lah." Terang Cik Madi, person in charge daripada kumpulan peserta.
"Hmm.. tak apalah. Masuk dulu."
Kami berkenalan dengan adik-adik yang baru sampai itu. Masing-masing teruja untuk mengikat tali ukhuwwah dengan perkenalan yang manis itu.
Sementara menanti waktu Maghrib, kami menghamparkan surat khabar sebagai pengganti saprah di ruang tamu untuk berbuka puasa. Walaupun hanya segelintir daripada kami yang berpuasa sunat, namun kesempatan dapat berbuka puasa bersama mereka yang berpuasa adalah sangat indah.
Usai azan maghrib, doa makan dibaca oleh Along sebelum masing-masing berbuka puasa.
Berbuka puasa beramai-ramai
Sementara kami menikmati juadah berbuka puasa, sesi perkenalan diteruskan lagi dengan aktiviti menghafaz nama setiap peserta. 3 peserta terbaik dipilih sebagai pemenang kerana telah menghafaz nama kesemua yang hadir pada sesi iftar jama'ie itu.
Alhamdulillah, walaupun usia perkenalan belum pun sampai 1 jam, gelak ketawa setiap yang hadir telah merapatkan silaturrahim seperti kami telah berkawan 1 tahun. Indah,kan ukhuwwah islamiyah itu?
Penyampaian tazkirah
Aktiviti seterusnya diteruskan dengan solat maghrib berjemaah dan sesi tazkirah yang disampaikan oleh Cik Sakinah berkenaan dengan kisah Ummul Mukminin Saidatina Aisyah Binti Abu Bakr. Tazkirah ini telah memberi banyak pengajaran antara lain yang disebut oleh peserta sendiri adalah seperti:
- Sifat sabar menghadapi ujian dan cabaran yang ditunjukkan oleh Saidatina Aisyah contohnya seperti ketika beliau difitnah selepas pulang dari perang Banu Musthalaq, beliau tetap bersabar menghadapi fitnah itu.
- Cemburu itu adalah sifat semulajadi orang perempuan. Hatta Saidatina Aisyah sendiri tidak lari daripada sifat ini sedangkan beliau adalah Ummul Mukminin. Pun begitu, sifat cemburu harus kena pada tempatnya. Cemburu yang baik adalah diharuskan seperti jika kita cemburukan sahabat yang dapat bangun solat tahajud, kita juga perlu berlumba-lumba mengejar kebaikan itu. Cemburu ini menjadi pendorong atau motivasi untuk kita menjadi insan yang lebih baik.
- Kebergantungan kepada Allah S.W.T merupakan ulasan terakhir yang dibuat oleh Ustazah. Walau bagaimanapun keadaan kita, kita perlu bergantung hanya kepada Allah dan mesti tetap berdoa. Contoh terdekat adalah kisah fitnah itu sendiri. Saidatina Aisyah hanya berdoa kepada Allah supaya namanya dibersihkan kerana beliau tidak berbuat apa-apa yang diperkatakan orang. Akhirnya nama beliau dibersihkan selepas turun wahyu daripada surah Nur ayat 11-16.
Usai solat Isya' jam 9.20, ruang solat dikemas untuk memberi laluan kepada aktiviti seterusnya - Movie Night. Comforter dihampar, bantal diletakkan, Muneer dipasang dan BenQ dihidupkan. Masing-masing mencari posisi terbaik untuk menikmati Movie yang bakal ditayangkan. Pun begitu, antiklimaks terjadi apabila sound system tiba-tiba merajuk. Dengan bantuan ikhwah yang sudi meminjamkan speaker yang lebih berkuasa tinggi, tayangan kami tidak lagi menjadi masalah. Jazakallahhu Khairan Katheera!
Tayangan yang ditonton adalah sebuah kisah bertajuk I Am Sam yang mengisahkan tentang seorang ayah yang kurang sempurna dari segi mental, berjuang untuk membesarkan anaknya. Untuk sinopsis, boleh klik sini.
I Am Sam
Tayangan tamat jam 12 tgh malam dan masing-masing terus melayari bahtera mimpi untuk bangun qiam jam 5 pagi. Ibarat barisan prajurit yang tersungkur syahid, semuanya tidur berhimpit dan tersusun dalam satu barisan.
Bersambung...




























